Selasa Mei 11, 2010
IPOH: Sebuah lebuh raya baru bakal dibina dari Ipoh ke Selama di sempadan Perak/Kedah dan bersambung ke Lebuh Raya Kulim-Sungai Petani, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Katanya, lebuh raya sepanjang 85 kilometer yang melibatkan kos RM2.5 bilion itu akan dibina oleh sebuah syarikat tempatan Beta Mutiara Technologies (BMT) Jelas Sdn Bhd.
"Lebuh raya tiga lorong ini bermula di Jelapang dan dilengkapi dengan susur keluar di Sungai Siput, Karai, Kati, Anak Kurau, Batu Kurau dan berakhir di Selama.
"Jalan baru ini akan bersambung hingga ke Serdang dan terus ke Lebuh Raya Sungai Petani yang juga dibina syarikat ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangai Perjanjian Persefahaman di antara BMT Jelas dan ELAF Bank Bahrain di sini hari ini.
Projek itu akan dibiayai melalui pengedaran sukuk oleh ELAF Bank.
Turut hadir Pengarah Urusan BMT Jelas Datuk Bahadun Ariffin dan Pengerusi Elaf Bank Ebrahim Al Khuzam dan Ketua Pegawai Eksekutif Elaf Bank, Jamil Jaroudi.
Dr Zambry berkata BMT Jelas kini dalam peringkat akhir menyediakan dokumen bagi pembinaan lebuh raya itu sebelum mendapat kelulusan Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan.
Beliau berkata pembinaan lebuh raya baru itu akan memberikan impak kepada pembangunan dan ekonomi kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Jamil berkata proses menyediakan sukuk dan sumber kewangan untuk pembinaan lebuh raya itu akan mengambil masa enam atau lapan bulan.
"Kami akan mengkaji instrumen yang membolehkan sukuk tersebut dipasarkan tetapi beberapa kajian yang dibuat sebelum ini menunjukkan sukuk yang akan dikeluarkan untuk projek ini akan mendapat minat dari pelabur," katanya. - BERNAMA
1 ulasan:
Catat Ulasan